family

family

Pages

Tuesday 3 November 2015

Kajang Plaza Medical Center (KPMC) 2000-2008

Entri 13

3.11.2015

Teks : Fadzilah Abdul Jalil
Foto : Fadzilah Abdul Jalil

   Sekarang ni hujan lebat di luar sana. Sesekali langit berdentum dengan kilat sabung menyabung. Ingatan saya terimbau sewaktu bekerja di Kajang Plaza Medical Center. Sebelum bertugas di Poliklinik UKM Kesihatan, saya bekerja di Kajang Plaza Medical Center dari tahun 2000-2008. Sebuah hospital yang sederhana, mula beroperasi dengan keadaan yang amat sederhana pada tahun 2000. Doktor Jamil Sharif merupakan pengasas penubuhan hospital ini. Saya selaku pembantu kepada beliau  merasa berbesar hati menjadi sebahagian doktor dan staf yang bekerja diwaktu mula-mula pembukaan KPMC Kajang. Masih terbayang waktu mula -mula hospital dibuka. Pesakit belum ramai lagi. Mereka masih tertanya -tanya hospital apakah ini dan siapa empunyanya. Walau pun saya hanya menerima gaji pada bulan ke tiga hospital beroperasi, saya berasa amat gembira, seronok dan puas. Terasa teruja untuk bekerja keras bagi memastikan KPMC berkembang dan maju serta berjaya. Itulah dia aura KPMC dan CEO nya Dr Jamil pada ketika itu. Bekerja dengan gembira dan tiada tekanan.

Seperti biasa saya pada ketika itu adalah doktor perubatan O&G yang membantu doktor pakar. Disamping klinik yang berjalan setiap hari kecuali khamis dan Ahad,saya perlu menyambut kelahiran bayi, melakukan pemantauan pesakit di wad dan juga on-call selang sehari . Berselang-seli dengan doktor pakar iaitu Dr. Jamil. Saya juga hanya dapat menyambut hari raya tanpa gangguan selang setahun. Jika saya on-call pada hari raya, anak dan suami seakan sudah mengerti dan sudah stand-by untuk sambut hari raya secara ala kadar sahaja. Saya pula tak akan berenggang dengan hand-phone kerana pada bila -bila masa saya boleh dipanggil untuk kelahiran dan kecemasan di hospital. Pendek kata , telefon akan sentiasa melekat dengan saya. Pernah terjadi suatu ketika saya dipanggil untuk menyambut kelahiran dalan hujan lebat jam 4 pagi. Waktu keluar dari rumah terasa cuak . Saya baca doa dan terus meredah hujan dengan kereta. Lampu isyarat pun saya langgar. Bukannya ada kereta pun pagi-pagi. Dalam beberapa minit ,kilat memancar di depan saya dan waktu itu juga satu dahan pokok yang besar ditepi jalan rebah dan melintangi jalan di hadapan kereta saya. Saya mengucap panjang. Terkejut. Nasib baiklah saya bawa kereta comel kelisa . Jadi saya dapat juga melepasi halangan dengan lalu dicelah-celah dahan merimbun itu. Nasib baik juga sempat sampai dan sambut bayi di Labour Room.

Labour Room KPMC Kajang agak berbeza berbanding di Hospital Muar . Bilik lebih eksklusif, jadi suami boleh masuk. Kakitangan wad bersalin pun memang otai seperti Mama Zek dan Kak Min. Kalau mereka ada saya rasa aman sebab saya tahu pesakit saya dijaga oleh bidan yang amat berpengalaman dan boleh dipercayai. Ramai juga staf lain yang banyak pengalaman seperti Staf nurse Mastura dan lain-lain. Maaf lupa dah nama mereka. Ada ketika wad amat sibuk dengan "admission", bersalin, pembedahan dan sebagainya. Meriah. Walau pun saya on-call pada waktu malam, keesokkan harinya saya tetap perlu membuka klinik di sebelah pagi. Memang pagi itu mata akan jadi macam mata panda sebab tak cukup tidur.

Berbeza dengan hospital kerajaan, di hospital swasta pesakit dan doktor mempunyai hubungan yang rapat. Kadang-kadang dah jadi kawan sebab saya menjaga mereka dari waktu UPT "positif" hinggalah mereka dapat mendakap bayi mereka. Bukan seorang anak, malahan ada yang 3 hingga anak ke 4 ,saya juga yang menyambutnya. Sehingga sekarang saya ada juga berjumpa bayi saya  sambut bila menghadiri majlis di sekolah-sekolah berdekatan. Rupanya ada yang dah masuk sekolah tadika dan darjah satu. Wah, pantasnya masa berlalu. Terasa diri ini semakin .........muda. Apa-apa pun saya seronok dan bangga. Saya berjaya membantu ibu -ibu melahirkan insan-insan yang insya Allah pada suatu hari nanti akan berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

 Dulu dan sekarang sudah amat berbeza. Dr Jamil telah kembali ke rahmatullah pada awal tahun 2015. Pemergian beliau amat di rasai oleh semua staf yang bekerja di KPMC dan semua pesakit beliau. Moga beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Pengalaman adalah sesuatu yang tak boleh dibeli dengan wang. Kenangan akan kekal abadi di minda buat selamanya.

No comments:

Post a Comment