family

family

Pages

Tuesday, 27 October 2015

Merancang keluarga (Jarakkan kehamilan)

Entri 7

Teks : Fadzilah Abdul Jalil
Foto : Fadzilah Abdul Jalil


Merancang keluarga adalah suatu perkara harus di titik- beratkan oleh semua pasangan yang sudah berumah tangga. Dengan keadaan ekonomi dan situasi di mana isteri harus sama -sama mencari nafkah untuk keluarga ,kaedah perancangan yang bersesuaian hendaklah difikirkan. Bagi wanita yang bersalin dengan kaedah pembedahan atau mendapat komplikasi sewaktu bersalin seperti tumpah darah, kehamilan hendaklah dijarakkan kepada lebih 2 tahun. Ini adalah untuk memastikan wanita tersebut kembali sihat dan normal serta luka bersalin sembuh dengan baik. Wanita yang mempunyai anak yang ramai dan yang ingin ambung belajar perlu mendapatkan nasihat bagi merancang keluarga.

Kaedah yang biasa digunakan adalah:

1. Pengambilan pil perancang .

    Secara amnya ada dua jenis pil perancang . Pil yang mengandung estrogen lazimnya tidak akan diberi kepada wanita yang menyusukan bayinya kerana ia akan menyebabkan susu badan kering dengan cepat. Pil Noriday biasa diberikan kepada wanita yang berniat untuk susukan anak sepenuhnya. Kebanyakan pil perancang menaikkan berat badan kecuali jenama Yasmin yang dikatakan tidak akan mengubah berat badan. Tapi janganlah anda sangka ambil pil Yasmin akan menurunkan berat badan pula. Jangan keliru. Cara pemakanan dan lain-lain hendaklah dirujuk kepada doktor terlebih dahulu. Pengambilan "Morning After Pill" tidak digalakkan untuk merancang keluarga jangka panjang.




2. Suntikan Hormon.

    Suntikan hormon ini popular dikalangan wanita yang bekerjaya kerana pengambilannya hanya setiap 3 bulan. Wanita yang menyusu badan digalakkan mengambilnya kerana ia tidak mempengaruhi produksi susu. Selalunya wanita yang menggunakan cara ini tidak datang haid dan jika datang haid punianya  amat sedikit. Ini perkara BIASA. Cuma masalah yang biasa terjadi ialah berat badan yang naik mendadak dan tak terkawal. Saya ada mengenali seorang pesakit yang berat badan naik hampir 20 kilo setelah menggunakan suntikan selama 2 tahun. Saya hampir tak mengenali beliau bila dia berdiri dihadapan saya !!

Implan juga adalah sejenis suntikan hormon . Bezanya ialah ia ditanam di bawah kulit dan mengeluarkan hormon secara berterusan. Ia tahan selama 3 tahun.


3. IUCD (alat dalam rahim)

    Entah mengapa, kaedah ini semakin lama semakin kurang digemari oleh kebanyak wanita. Mungkin kerana membayangkan  terpaksa "berdepan" dengan doktor untuk memasukkan alat tersebut adalah sesuatu yang amat berat dan memalukan. Cara ini juga sesuai untuk mereka yang menyusukan anak. IUCD tahan untuk 3-5 tahun bergantung pada jenis. Bila dah tamat tempoh pun kena jumpa doktor untuk keluarkan. Ramai juga yang mengalami aliran haid yang terlalu banyak dan tak selesa kerana keputihan yang banyak.


4. Cara mengelak waktu ovulasi

    Ini hanya berkesan pada mereka yang haid nya amat teratur iaitu yang mempunyai kitaran 28 hari. Bagi yang haid nya tak tentu , jangan sekali-kali guna kaedah ini ya. Di dalam kaedah ini, waktu paling selamat ialah sebaik sahaja haid habis dan beberapa hari sebelum haid akan datang. Walau bagaimana pun kaedah ini adalah tidak berapa berkesan untuk mencegah kehamilan.


5. Penggunaan Kondom dan spermisaid

   Kaedah memakai kondom boleh digunakan bersama - sama dengan kaedah mengelak waktu ovulasi bagi memaksimakan hasil. Ianya paling selamat dan mudah tanpa perlu nasihat doktor.


6. Kaedah Penyusuan Sepenuhnya.

   Ini adalah kaedah yang amat baik dan amat popular. Walau bagaimana pun perlu di ingatkan bahawa kaedah ini hanya boleh memberi kesan pencegahan ovulasi bagi 6 bulan pertama sahaja.
Selepas 6 bulan mempraktikkan cara ini wanita perlulah menggantikannya kepada kaedah perancang keluarga yang lebih mantap seperti IUCD, pil dan sebagainya. Ramai wanita yang datang ke klinik kerana mendapati beliau telah mengandung dan sudah merasa pergerakan anak walhal masih menyusu bayinya . Beliau juga tak menyedari bila mula beliau mula mengandung kerana terlalu yakin dengan kaedah penyusuan .

Kesimpulannya, pilihlah kaedah paling sesuai dengan individu itu sendiri. Ini termasuklah kesesuaian kos, kaedah penggunaan dan kesan sampingan. Sebaiknya rujuklah kepada mereka yang arif.



Sunday, 25 October 2015

Awal kehamilan (trimester 1) Bahagian 2

Entri 6

Teks: Fadzilah Abdul Jalil
Foto: Fadzilah Abdul Jalil (Koleksi Peribadi)

Assalamualaikum dan salam ceria kepada rakan pembaca semua .Pada entri sebelum ini saya telah pun mengenengahkan perkara -perkara yang perlu dilakukan diwaktu awal kandungan. Untuk catatan kali ini saya akan memberikan sedikit informasi berkenaan dengan perkembangan bayi didalam rahim sewaktu awal kandungan. Ianya merujuk kepada apa yang kita boleh lihat sewaktu pemeriksaan ultrasound dijalankan.


Buat pengetahuan puan puan dan pembaca, mesin ultrasound merupakan alat yang penting yang akan di gunakan oleh para doktor untuk melihat perkembangan bayi dalam rahim. Bukan sahaja bayi, kita boleh melihat samada seseorang itu ada masaalah fibroid, sista ovari, kandungan luar rahim dan lain lain. Mesin ini juga boleh melakukan imbasan batu karang dipundi hempedu, buah pinggang ,melakukan pemeriksaan jantung dan sebagainya. Bukan hanya untuk tenguk imej baby sahaja tau.

Bagi wanita yang baru sahaja mengetahui mereka mengandung dan kandungan baru berumur 4-5 minggu, tak perlu membuat pemeriksaan ultrasound awal awal kerana kandungan hanya kelihatan apabila usia mencecah 5minggu ke atas.Jika ultrasound dilakukan, mereka hanya akan melihat rahim yang kembang dan dinding rahim yang menebal. Mesti frustkan tak dapat nampak apa-apa lagi. Jadi sabarlah dulu ye. Tunggulah sehingga kandungan mencecah 6 minggu keatas barulah ajak encik suami untuk buat scan di klinik.


Ta da...... Nampak tak imej yang saya ukur di atas?  Itulah imej janin yang usianya baru mencecah 7 minggu. Kecil aje kan. Pada waktu 6 minggu ke atas kita sudah mula boleh melihat degupan jantung dan sudah boleh mengukur panjangnya. Ukuran panjang janin mestilah hampir atau sama dengan umur kandungan yang di kira.


Di antara 8 hingga 9 minggu kehamilan, kita akan mendapati bahawa janin telah menunjukkan bahagian tangan dan kaki nye yang kecil dan baru membentuk. Janin pun menjadi lebih aktif dan bergerak. BERGERAK? ye ke . Tak rasa pun. Mesti ada yang cakap macam ni kan. Memang betul baby ni boleh bergerak -gerak . Cuma kita tak rasa sebab kecil sangat. 



Janin akan membentukkan keseluruhan bahagian badan dengan sempurna apabila mencecah umur 11-12 minggu. Seperti gambar di atas, kita sudah dapat melihat rupa muka nya sendiri dan sekiranya bernasib baik dapat menentukan jantinanya sekali pada waktu ini. Cuba teka jantina baby di atas.. 
Ye, betul. Boboboy lah tu. 

Wah, seronok tengok perkembangan bayi dalam perut. Saya berhenti di sini dulu.

 Nanti kita sambung. Bye.


Saturday, 24 October 2015

Awal kehamilan (trimester pertama ) Bahagian 1

Entri 5

Teks: Fadzilah Abdul Jalil
Foto : Fadzilah Abdul Jalil

Kita sambung cerita dari entri tempoh hari ye. Bila anda mengetahui yang anda sudah mengandung, perkara yang harus dilakukan selepas itu adalah

1. Pergi ke klinik berdekatan dan berjumpa dengan doktor. Pada masa ini doktor akan membantu anda dengan mengira tarikh dijangka bersalin sebagaimana yang saya cerita dalam entri terdahulu. Boleh rujuk entri 2 saya.  Jadi bolehlah anda berkira- kira untuk melakukan perancangan masa depan. Contohnya jika pelajar , bolehlah mengagak sama ada waktu bersalin jatuh pada bulan peperiksaan. jika ia berlaku mereka boleh berbincang dengan pihak akademik untuk cuti bersalin, tangguh semester dan sebagainya. Percutian keluarga juga boleh di tempah tanpa was-was supaya tidak dilakukan waktu kandungan sudah menjangkau melebihi 8 bulan. Perkara ini amat penting.

Selain dari tarikh EDD , doktor juga akan memberikan Folik Acid sebagai vitamin tambahan . Ini penting untuk mengelakkan dari kecacatan yang melibatkan sistem saraf seperti spina bifida,
Disini saya ingin beritahu bahawa Folik Asid bukanlah suplemen yang boleh membantu anda untuk cepat mengandung seperti yang di fahami oleh sesetengah orang. Ianya TAK ada kaitan langsung,

Selepas itu doktor akan memberi tarikh temu janji akan datang supaya pemeriksaan ultrasound dapat dilakukan. Ini untuk memastikan bayi membesar mengikut tarikh dan kedudukannya betul didalam rahim. Doktor juga memastikan bahawa tiada cyst in ovari atau fibroid di badan rahim yang mungkin boleh mengganggu perkembangan bayi..

2. Tukar kasut yang anda pakai kepada yang lebih rendah tumitnya dan lebih lembut serta selesa. Ini untuk memastikan anda tidak jatuh atau tercedera apabila sedang mengandung. Saya ada pengalaman dimana seorang pesakit saya ini 4 kali terjatuh semasa mengandung dan kali keempat jatuh , belaiu mengalami retak tulang kaki. Masya Allah. Tepuk dahi saya. Saya tanya kenapa jadi begini. Beliau mengatakan beliau suka pakai kasut tinggi dan tak biasa berkasut tumit rendah. Jadi beliau selalu hilang pertimbangan badan. Syukur lah, kandungannya tak apa apa.

3. Pakai pakaian yang longgar dan menyerap peluh  .Tukar pakaian dalam kepada yang lebih lembut dan selesa. Jangan memakai korset dan sebagainya. Anda akan mengalami perubahan bentuk badan yang drastik selepas ini.

4. Atur perjalanan jauh anda. Pada 3 bulan pertama adalah waktu kritikal untuk perlekatan bayi ke rahim ibu. Oleh itu tidak digalakkan melakukan perjalanan jauh sekiranya tiada keperluan besar seperti perkahwinan . perayaan dan kematian . Anda boleh tunda percutian yang lain selepas kandungan melepasi 3 bulan.







5. Jaga pemakanan anda. Pada waktu 4 hingga 6 minggu kebanyakan orang tidak akan merasa loya atau muntah tetapi bila kandungan menjangkau ke 7-11 minggu ,ramai akan mengalami loya atau muntah yang teruk. Ada yang terpaksa dimasukkan ke wad kerana langsung tak boleh makan. Ini perkara biasa. Nasihat saya sekiranya muntah , elakkan dari makan makanan yang bersusu dahulu, berminyak,pedas dan berlemak kerana makanan ini akan menyebabkan pengeluaran asid perut berlebihan. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan ubat tahan muntah. Jangan risau ubat tersebut selamat untuk dimakan.

6. Akhir sekali, berhati- hati lah dengan apa yang anda makan terutamanya ubat. Sentiasa beritahu doktor yang anda mengandung jika ke klinik untuk mendapat rawatan tentang masaalah lain. Kebanyakan ubatan biasa memang boleh diambil oleh ibu mengandung tetapi ada bebarapa ubat yang jika di ambil akan menyebabkan kecacatan atau keguguran.

Ingat ye . Tiga bulan pertama ini ialah waktu dimana bayi membesar dan membentuk semua organ organ penting . Diwaktu ini juga bayi masih lemah kerana uri masih dalam proses untuk membesar dan melekat dengan baik.

 Saya akan sambung pula tentang perkembangan bayi di waktu 3 bulan pertama atau trimester pertama ini di entri akan datang. Teruskan membaca.

Wednesday, 21 October 2015

SENYUM ITU SEDEKAH

Entri 4

Teks : Fadzilah Abdul Jalil
Foto : Fadzilah Abdul Jalil (Koleksi Peribadi)

Senyum itu sedekah. Memang benar. Walau pun sejauh mana kesedihan kita apabila seseorang itu melemparkan seyuman kearah kita akan terbit satu aura keceriaan dalam diri. Sepanjang saya melakukan pemeriksaan ultrasound di klinik, saya sering bertemu dengan bayi dalam kandungan yang sentiasa tersenyum apabila saya "sekodeng " mereka .Alhamdulillah ibu mereka pun memang sentiasa memberikan senyuman . Gerak geri dan pekerti ibu yang sedang hamil sentiasa di tiru oleh bayi dalam kandungan. Kalau ibu mereka muka stress, bayi dalam perut pun akan menunjukkan aksi memegang dahi . Seronok dengan gelagat gelagat seperti ini. Saya pun katakan pada mereka "tengok tu, mama stress baby pun stress juga tau "



Ibu-ibu diluar sana sentiasalah memberikan aura positif pada bayi mereka. Jangan cepat marah ye. Elakkan dari menghadapi tekanan yang melampau. Ini akan menggalakkan bayi memperolehi sifat penyabar bila mereka membesar nanti.



Gambar diatas adalah bayi dalam kandungan berumur 37 minggu yang saya ambil sewaktu menjalankan pemeriksaan kepada seorang ibu. Letak saja prob scan di abdomen ,alangkah seronoknya bila melihat bayi dalam kandungan senyum pada saya . Dapat juga saya rakamkan saat tersebut. Ia membuatkan sepanjang hari saya jadi ceria. 

     Kalau bayi dalam kandungan pun mampu memberi senyuman pada kita, apatah kita yang dah dewasa dan matang ini. Jadikan senyuman sebagai sedekah yang paling minima yang boleh kita berikan kepada orang disekeliling . Jadi tunggu apa lagi SENYUMLAH SELALU.





Bagaimana saya mengurangkan tekanan atau stress

Entri 3

Teks : Fadzilah Abdul Jalil
Foto: Fadzilah Abdul Jalil


Setiap orang akan menghadapi stress. Tekanan di tempat kerja, dirumah dan dimana saja. Cara mereka mengatasi tekanan berbeza beza mengikut latar belakang masing masing. Sebagai seorang yang beragama Islam semestinya kita menambahkan amal ibadat dan mengadu kepada Allah S.W.T. Mohon agar dilapangkan dada dan dipermudahkan jalan bagi kita mngatasi masaalah yang tiba. Bagi saya, selain dari berkongsi masaalah dengan mereka yang rapat, melancong ketempat tempat yang mendamaikan juga akan mengurangkan tekanan atau stress. Saya akan duduk di tepi pantai dan berfikir panjang dan dalam dalam tentang permasalahan saya.


Sambil menemani anak anak bermain layang layang ,saya akan memandang kelangit . Kelihatan langit luas terbentang di depan saya.



Subhanallah. Maha suci Allah yang menjadikan alam semesta. Saya rasa begitu kerdil sekali. Apa lah sangat stress atau tekanan ini jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah. Hanya Allah sahaja yang maha mengetahui. Berserah pada Allah yang Maha Kuasa. Alhamdulillah, saya berasa lega.


Tuesday, 20 October 2015

Tarikh Dijangka Bersalin

Entri 2

Teks : Fadzilah Abdul Jalil
Foto : Fadzilah Abdul Jalil

Bila tarikh saya akan dijangka bersalin ye???

Ada beberapa cara yang boleh dilakukan untuk mengira tarikh dijangka bersalin.

1. Menggunakan obstetric calculator seperti gambar yang ditunjukkan dibawah.






2. Menggunakan aplikasi di Smartphone. Masukkan saja tarikh hari pertama haid terakhir anda di apps dan tarikh akan dikirakan untuk anda. Ingat ye. HARI PERTAMA haid dan bukan hari terakhir. Ramai bakal ibu diluar sana tersilap memberi tarikh kepada doktor. 


3. Menggunakan kira kira sahaja. Ini yang saya nak tunjuk pada bakal ibu . Teknik ini amat senang digunakan . Anda boleh kira kan untuk orang lain pun. Caranya ialah dengan mencampurkan 7 kepada hari dan tolakkan 3 kepada bulan. 

Contohnya  :

Hari pertama haid terakhir  anda ialah 1.9.2015 .
Maka tarikh dijangka bersalin ialah  (1+7). (9-3).2016

 iaitu 8.6.2016 .......................senangkan. 


Cubalah........


Haid tak datang, apa nak buat???

Entri no 1
Teks: Fadzilah Abdul Jalil
Foto: Fadzilah Abdul Jalil


Ada banyak sebab kenapa haid tak datang,betul tak? Bagi yang berumur 45 tahun keatas, ini mungkin menandakan yang menopause ( putus haid) hampir tiba. Jadi, apa nak buat. Saya cadangkan buat ujian kehamilan . Mesti ada yang ketawakan. Takkan saya mengandung umur macam ni. Jangan begitu ye, selagi bersuami kemungkinan ini pasti ada. Kalau negatif , tunggu haid akan datang. OK ke atau masih tak muncul. Sementara itu buat pemeriksaan ultrasound dan pap smear. Jika haid tidak muncul selama lebih dari satu tahun , bolehlah berjumpa doktor untuk pengesahan menopause dengan melakukan ujian darah.

Bagi yang berkahwin dan masih muda tentu inilah masa yang dinanti nantikan. Mengandung ke? . Untuk makluman , ujian air kencing boleh memberikan keputusan positif walau pun hanya lewat sehari. Lakukan ujian dengan menggunakan urin yang di ambil pada waktu baru bangun tidur kerana kepekatan beta HCG adalah paling tinggi waktu itu. Jika negatif ulang lagi ujian selepas satu minggu. Tak perlu test setiap hari, kaya kedai farmasi jual kit pada kita.... Buat imbasan ultrasound seawal 6 minggu untuk pastikan kandungan sihat dan kedudukannya betul didalam rahim . Tarikh dijangka bersalin pun boleh disahkan pada waktu ini. Jangan buat terlalu awal atau terlalu lewat.

Imbasan ultrasound amat penting bagi membantu memanstikan bayi sihat dan membesar dengan baik. Saya akan ceritakan dengan lebih lanjut di entri akan datang ye. Akhir kata , tahniah kepada yang bakal jadi ibu....bersedialah menempuh alam yang penuh keseronokan dan warna warni.